Terbitnya HIKMAH



Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012 sebagai reaksi terhadap perkembangan yang menggelisahkan ini. Ia adalah ikatan longgar para pengkaji/peminat sejarah dan budaya Melayu dan Islam yang sering berbincang dan berhubung melalui Internet terutama di Facebook.

HIKMAH adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila ditawarkan untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis pun mengajak rakan-rakan dan kenalan turut sama berkongsi buah fikiran. Dalam masa yang singkat HIKMAH mendapat sambutan di luar dugaan. Walaupun menghadapi beberapa halangan termasuk dibatalkan penggunaan dewan pada saat-saat akhir akibat campur tangan pihak yang bermotifkan politik, acara pertama HIKMAH yang dikecilkan daripada cadangan asal lalu dijadikan acara santai “Suai Kenal HIKMAH” tetap dapat diadakan dengan jayanya Ahad 4 November di Shah Alam.

Walaupun baru diterbitkan cuma 3 minggu HIKMAH terbukti berjaya menyatukan umat Melayu Islam dari pelbagai latar belakang tanpa mengira kecenderungan politik. Seramai 350 orang termasuk aktivitis perkerisan, persilatan, perubatan tradisional, kebudayaan malah para pemimpin tareqat telah berkumpul untuk berkongsi rasa tentang nasib orang Melayu Islam akhir zaman. Atas keyakinan ini acara susulan yang diberi nama “Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” pun diatur untuk dibuat Ahad 25 Nov di Melaka. Ia mendapat sokongan Persatuan Guru-Guru Beladiri Melaka (MAGMA Melaka) dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI). Tidak lama kemudian kerajaan negeri Melaka pun turut serta sebagai penganjur bersama malah memasukkan acara ke dalam kalendar tahunan program negeri. Sambil itu sudah ada pihak menjemput agar acara HIKMAH diadakan di Perak dan Kelantan.


------------------------

Nota : (ditulis malam Jumaat 25 Julai 2013 bersamaan 17 Ramadhan 1434, malam Nuzul Quran).

Adapun penulisan pengenalan di atas dibuat ketika HIKMAH sedang bersedia untuk mengadakan acara keduanya iaitu di Melaka 25 Nov 2012. Selepas itu acara ketiga telah diadakan di Lumut, Perak 27 Jan 2013, keempat di Kandis, Bachok, Kelantan 16 Mac diikuti kelima di Kuala Terengganu 5-8 Jun, kali pertama acara HIKMAH diadakan melebihi 1 hari. Selepas itu pengasas HIKMAH iaitu saudara Radzi Sapiee bercadang cuma akan membuat lagi acara pada hujung tahun. Itupun untuk memenuhi janji kerana Datuk Seri Ali Rustam pernah mengisytiharkan HIKMAH Melaka sebagai acara tahunan ketika beliau masih Ketua Menteri.

Untuk makluman ketika itu Radzi perlu berehat menanti penyembuhan kecederaan kaki yang agak teruk akibat jatuh tergelincir 23 April. Beliau juga ingin kembali pada satu usaha penulisan buku yang tergendala setahun lalu. Namun pada kala beliau masih merawat kecederaan yang dijangka memakan masa lagi 6 minggu untuk sembuh timbul permintaan baru yang membuat beliau rasa harus memenuhinya. Ketika itu pihak kami sedang bersiap-sedia untuk mengadakan acara keenam di Shah Alam 7 September merangkap sambutan hari raya. Sambil itu ada pihak di utara meminta untuk menjadi penganjur acara ketujuh lalu kami mencadangkan agar ia dibuat minggu ketiga bulan Oktober. Pihak tersebut ingin menaja segala kos dan meminta agar ia diadakan selama 3 hari.

Begitulah kami di HIKMAH. Siapa sangka acara yang asalnya mahu diadakan sekali sahaja iaitu pada 4 November 2012 boleh bercambah menjadi satu siri jelajah yang ditunggu-tunggu umat Melayu dan Islam serata Malaysia malah dari negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia? Untuk melihat atau menelaah apa yang telah dibuat HIKMAH sila klik pautan berikut...













Friday, September 30, 2016

Acara ketujuh belas HIKMAH di Seremban 17 Sept 2016


Salam semua, salam hari Jumaat terakhir untuk tahun 1437 Hijriah. Lusa iaitu pada hari Ahad 2 Oktober 2016 kita akan masuk tahun baru Hijriah yang seterusnya lalu menyambut hari Awal Muharram. Dengan itu biarlah ditutup segala yang boleh diceritakan tentang acara ke-17 HIKMAH yang telah selamat dilangsungkan di Seremban 17 Sept iaitu 13 hari lalu. Biar dikumpulkan semua pautan cerita tetang acara tersebut. Selepas ini bolehlah ditumpukan perhatian pada acara seterusnya. Kalau tiada aral melintang insyaallah acara ke-18 HIKMAH akan diadakan di Muzium Negara, Kuala Lumpur pada 22 Oktober, cuma 3 minggu 1 hari sahaja lagi daripada sekarang...


Persediaan untuk acara...





Apa yang berlaku sepanjang acara...






Kertas kerja atau/dan perkongsian rasa yang telah dipersembahkan...


1. Dalil-dalil Bertanjak dalam Islam, Sanad Serban dan Imamah serta beberapa Hal tentang Melayu dan Islam dalam Kitab – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”.

2. Ulamak dan Persilatan dalam Sejarah Alam Melayu - Tun Suzana Othman, pengasas dan pengerusi Kemudi (Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam) juga penulis buku “Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu” 

3. Dinar dan Dirham : Perkembangan Terbaru dalam keadaan Malaysia Tersepit antara Pengaruh Blok Amerika dengan Pengaruh blok China - Norbaini Hassan, jururunding kewangan Islam, aktivis dinar dan dirham

4. Red Indian telah DiIslamkan lebih 1,000 Tahun Lalu : Jejak Lama Pendakwah Islam juga Orang Melayu di Amerika – Ustaz Hasanuddin Yusof, pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara, penulis buku “Sultan-Sultan Soleh Di Nusantara” 

5. Nabi Adam AS dan Orang Melayu purba 60,000 Tahun yang Lampau : Menyeleraskan Tempoh Kewujudan Manusia Dalam Sains Berbanding Kitab - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”.


Antara yang dapat dikongsikan dengan butiran di blogspot...




Acara juga boleh diikuti melalui video klip...

Thursday, September 29, 2016

Video pembentangan pada HIKMAH Seremban

OK. Ada seorang peserta pada HIKMAH Seremban telah mengambil gambar juga video sekitar acara lalu menyerahkan sejumlah kepada saya. Saya dapati ada 4 klip video antara yang diserahkan itu. Biarlah dikongsikan untuk tatapan semua.


Ini daripada pembentangan yang bertajuk "Ulamak dan Persilatan dalam Sejarah Alam Melayu"



Ini daripada pembentangan yang sama. Saya tak ingat apakah yang tadi dahulu, yang ini kemudian atau bagaimana. Sila padankan dengan cerita dalam artikel Konsep jihad dan tauhid yang benar pegangan ulamak dalam persilatan.



Ini daripada pembentangan seterusnya. Padankan dengan cerita dalam Laut China Selatan sebagai medan pergolakan yang akan menguji umat Melayu akhir zaman.




Ini  pula harus dipadankan dengan Jejak pengIslaman awal Red Indian juga kedatangan orang Melayu ke Amerika. Cukuplah sedikit perkongsian ini ya...


Monday, September 26, 2016

Jika Nabi Adam turun 6,000 tahun Sebelum Masihi siapakah orang Melayu purba yang katanya sudah wujud 60,000 tahun lalu?

Salam semua. Sampai masa untuk menyelesaikan terus perkongsian tentang isi pembentangan-pembentangan pada HIKMAH Seremban 17 September lalu. Masuk pembentangan ke-2 sesi petang merangkap pembentangan ke-5 keseluruhan juga yang terakhir  untuk majlis. Bersambung daripada Jejak pengIslaman awal Red Indian juga kedatangan orang Melayu ke Amerika.


Adapun proses pembentangan telah dibuka sekitar jam 11 pagi oleh saya apabila bercakap tentang busana Melayu bagi menggantikan seorang pembentang lain yang tidak dapat muncul akibat komitmen pekerjaan yang tiba-tiba muncul 2 hari sebelum acara. Lihat Tentang busana Melayu dan perkara-perkara berkaitan milik bangsa kita menurut kitab ulamak silam. Penghujung majlis mula menyaksikan saya ke hadapan membentang lagi. Tetapi kali ini menurut apa yang memang sudah dijadualkan sejak sekian lama.

Pembentangan itu bertajuk "Nabi Adam AS dan Orang Melayu purba 60,000 Tahun yang Lampau : Menyelaraskan Tempoh Kewujudan Manusia Dalam Sains Berbanding Kitab". Ia adalah berdasarkan satu buku tulisan saya yang manuskripnya dirasakan sudah cukup lengkap lalu sudah diserahkan kepada penerbit, Hijjaz Record Publishing penghujung bulan Mac untuk tindakan mereka. Subjek yang diketengahkan agak berat kerana saya cuba menyeleraskan kira-kira masa berdasarkan ilmu sains dengan zaman kewujudan manusia juga kemunculan nabi-nabi berdasarkan kitab. Bila terbit di pasaran, insyaalah pada separuh awal tahun 2017 ia mungkin menggegarkan dunia pemikiran para akademik juga dalam kalangan ulamak.


Antara perkara besar yang cuba dijawab adalah kiraan atau zaman berdasarkan kitab menunjukkan bahawa Nabi Adam AS turun ke muka bumi paling awal pun sekitar 6,000 tahun Sebelum Masihi iaitu 8,000 tahun lalu. Kalau begitu siapa pula manusia moden serupa kita yang disebut saintis sebagai Homo Sapiens yang menurut mereka sudah berada di muka bumi sekitar 209,000 tahun lalu? Siapa pula orang Melayu awal yang menurut kajian DNA seorang saintis Malaysia, anak Melayu lagi Islam bernama Prof Madya Dr Zafarina Zainuddin telah wujud 60,000 tahun lalu? Orang kayangan? Keturunan jenis manusia awal sebelum Nabi Adam? Atau kita perlu meneliti balik keadaan setiap zaman lalu membuat kira-kira yang berpatutan, baru boleh terjawab dengan baik dan jelas lagi muktamad hal ini?



Sejak beberapa tahun lalu saya ada mengemukakan hal tersebut kepada para profesor yang ditemui dalam seminar demi seminar ilmu di merata menara gading dan institusi berwibawa serupa itu. Jawaban yang diberikan tidak memuaskan lalu terasa tergantung begitu sahaja. Antara dunia menurut saintis dan para akademik berbanding dunia menurut ulamak berdasarkan kitab ada jurang besar pemahaman. Saya terasa wajib untuk merapatkan jurang ini kerana percaya ia akan menyelesaikan banyak perkara tentang tempoh kewujudan manusia lalu boleh diselarikan dengan cerita-cerita di dalam Al-Quran terutama apa yang berlaku pada zaman setiap nabi dan rasul.


Saya membuka pembentangan dengan menceritakan konsep Melayu berdasarkan genetik atau baka berbanding Melayu berdasarkan perlembagaan atau takrif menurut undang-undang. Untuk memahami ini boleh rujuk ulasan saya terhadap pembentangan Profesor Dato' Dr Salleh Yaapar yang memberikan banyak pencerahan buat saya 2 tahun lalu. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot CATATAN SI MERAH SILU :-


Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Ke Arah Pencerahan yang Dinantikan.. Peri Nama, Asal 

Usul dan Identiti Melayu : Sudah terang lagi bersuluh!


Selepas itu baru diceritakan konsep wujud alam, peringkat-peringkatnya sehingga membawa kepada kewujudan pelbagai jenis binatang termasuk dinasour sampailah wujud manusia menurut sains. Dijelaskan bagaimana tempoh kewujudan mahkluk terutama manusia kelihatan begitu bercanggah berbanding apa yang disebut dalam kitab namun insyaallah kita boleh mencari titik pertemuan jika faham bahawa panjangnya suatu hari pada zaman dahulu tidak sama berbanding pada zaman sekarang.

Hal ini pernah dikongsikan panjang lebar dalam artikel Memperhalusi kira-kira masa sebenar berdasarkan beberapa maklumat baru yang dipersembahkan setahun setengah lalu. Cuma perkara sudah diperbaiki dan diperhalusi lagi dan lagi untuk penerbitan buku. Lalu itulah yang dikongsikan sedikit sebanyak pada pembentangan terakhir di HIKMAH Seremban. Untuk makluman ini adalah artikel ke-262 di blogspot ini.


Saturday, September 24, 2016

Jejak pengIslaman awal Red Indian juga kedatangan orang Melayu ke Amerika

Sekarang masuk kita pada pembentangan pertama petang merangkap pembentangan ke-4 secara keseluruhan semasa HIKMAH Seremban. Bersambung daripada artikel Laut China Selatan sebagai medan pergolakan yang akan menguji umat Melayu akhir zaman.


Ia dibuat oleh pemilik premis Ustaz Hasanuddin Yusof, pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Islam Nusantara. Penulis buku “Sultan-Sultan Soleh Di Nusantara” ini diminta membawa tajuk "Red Indian telah DiIslamkan lebih 1,000 Tahun Lalu : Jejak Lama Pendakwah Islam juga Orang Melayu di Amerika". 


Namun disebabkan kesibukan menyiapkan tempat juga menyediakan makanan untuk hadirin beliau tidak sempat menyiapkan slaid. Oleh itu saya bukakan program Google Earth lalu memberikan tumpuan pada gambar satelit sekitar Lautan Atlantik untuk membantu penerangan.



Namun beliau nampaknya tidak menggunakan langsung paparan itu. Sebaliknya Hasan meneruskan cerita sambil merujuk pada buku bertajuk "Red Indian Madinah" tulisan beliau yang terbit tahun lepas.



Buku itu memperincikan segala hal yang mahu disentuh dalam pembentangan. Antaranya adalah bagaimana para pedagang Islam dari Tanah Arab juga benua Afrika telah sampai ke Amerika sejak abad ke-7 Masihi lalu mengIslamkan penduduk tempatan. Turut ditunjukkan bukti-bukti kedatangan awal Islam seperti tulisan pada batu yang kelihatan tidak lain adalah tulisan Arab, ayat-ayat Al-Quran, nama Nabi Muhammad juga nama-nama tempat yang berunsur Arab dan sebagainya. Sesekali Hasan menunjukkan muka surat berkenaan kepada hadirin. Mendapati ia terlalu kecil untuk ditangkap oleh kami yang duduk jauh walaupun paling hadapan, saya membuka program video capture yang dapat menangkap keadaan di hadapan komputer/ Ini  dapat dipancarkan atau dipaparkan ke skrin atau layar putih lalu boleh dilihat oleh ramai.





Menariknya, kajian menunjukkan pernah ada orang Melayu dari Melaka datang ke Amerika beberapa abad yang lampau. lebih tepat di Amerika Tengah. Kajian dibuat oleh seorang sarjana Barat bernama Dr Barry Fell. Beliau menemui tulisan berbentuk Jawi pada sebuah gua di El Salvador. Apabila diteliti, ia berbunyi "Katib Malaqah (Melaka) Haji Mi Malaya".


Selain itu terdapat kajian menunjukkan bahawa orang Maya yang pernah menerbitkan ketamadunan tinggi di Amerika Tengah, membina piramid-piramid teguh juga menerbitkan kalendar musim yang tepat adalah tidak lain daripada rumpun orang Melayu juga. Tetapi banyak kesan terutama yang boleh menunjukkan keIslaman suatu tempat dirosakkan oleh penjajah terutama orang Sepanyol yang keluar meneroka Amerika sambil membawa dendam Perang Salib juga tindak balas terhadap penaklukan orang Islam di Semenanjung Iberia, barat Eropah yang menerbitkan tamadun tinggi Andalusia. Hal ini sama seperti di Filipina yang penduduk asalnya semua sudah beragama Islam tetapi rata-rata kecuali di selatan dapat dimurtadkan oleh Sepanyol. Sama sahaja halnya selepas Sepanyol dan Portugis dapat menakluki kembali Andalusia dengan jatuhnya kubu terakhir umat Islam di Granada tahun 1492. Polisi mereka, bunuh semua orang Islam tak kira orang tua, perempuan, mahupun kanak-kanak kecuali yang sedia untuk murtad. Hancurkan segala masjid dan apa-apa kesan yang menunjukkan keIslaman, ubah rupa atau gantikan dengan monumen-monumen yang menunjukkan penguasaan Kristian.


Tamat sahaja pembentangan buku "Red Indian Madinah" yang ditawarkan pada harga istimewa untuk HIKMAH Seremban laku tegar. Kelihatan Hasan di kanan bergambar bersama seorang penyokong setia HIKMAH yang dikenali sebagai Johan Lela Perkasa dalam Facebook. Separuh daripada gambar yang dikongsikan tentang pembentangan adalah sumbangan daripada beliau.


Laut China Selatan sebagai medan pergolakan yang akan menguji umat Melayu akhir zaman

Masuk pembentangan ketiga. Bersambung daripada artikel Konsep jihad dan tauhid yang benar pegangan ulamak dalam persilatan


Pembentangnya adalah perunding kewangan Islam juga aktivis dinar dan dirham, Puan Norbaini Hassan.


Beliau diminta membawa tajuk  "Dinar dan Dirham : Perkembangan Terbaru dalam keadaan Malaysia Tersepit antara Pengaruh Blok Amerika dengan Pengaruh blok China".


Oleh kerana pembentang sebelumnya, puan Tun Suzana Othman telah menyentuh tentang kaitan Perang Salib di Timur Tengah dan kejatuhan Andalusia di Eropah daripada tangan umat Islam ke tangan umat Kristian dengan penaklukan Kota Melaka oleh Portugis tahun 1511, Norbaini membuka dengan menyambung perkara sebagai satu kesinambungan percaturan geopolitik kuasa-kuasa besar kufar yang mahu menguasai kepentingan umat Islam di Alam Melayu.


Apabila disebut tentang Alam Melayu maka Asia Tenggara menjadi rujukan dengan negara kita Malaysia memiliki kedudukan penting dalam percaturan. Terkini sejak beberapa tahun yang lalu adalah persaingan antara blok kuasa Amerika dengan blok kuasa negara China untuk mengukuhkan kedudukan di perairan persekitaran terutama Laut Cina Selatan yang merupakan kawasan perairan paling luas di Asia Tenggara. Kata Norbaini ia dahulu dikenali sebagai Laut Champa. Champa adalah sebuah kerajaan besar Melayu silam yang sudah hilang identiti dan kesan akibat ditelan migrasi dan penaklukan gerombolan pendatang dari Cina Selatan, gerombolan yang menerbitkan negara seperti Vietnam. 

Maka dibincangkan isu Kepulauan Spratly di Laut Cina Selatan di mana tentera negara China telah menambak beberapa buah pulau dan terumbu karang lalu mendirikan pengkalan. Disebut sekali hal orang Sulu yang katanya berhak terhadap negeri Sabah dan bagaimana mereka merupakan satu-satunya kumpulan etnik Melayu Islam yang tidak pernah ditakluk oleh mana-mana penjajah atau puak kufar. Melihat perlumbaan mengembangkan kuasa dan pelbagai perkembangan akhir zaman yang dijangka akan mengganggu kehidupan ramai termasuk di Malaysia kita disarankan mula menyimpan wang emas dinar dan dirham perak. Kata Baini akan sampai satu zaman di mana tidak ada lagi yang bernilai kecuali emas dan perak. Oleh itu bersedialah untuk menghadapi zaman tersebut dengan persediaan yang memadai.

Thursday, September 22, 2016

Konsep jihad dan tauhid yang benar pegangan ulamak dalam persilatan

Masuk pembentangan kedua pada HIKMAH Seremban. Bersambung daripada artikel Tentang busana Melayu dan perkara-perkara berkaitan milik bangsa kita menurut kitab ulamak silam.


Pembentangan dibuat oleh puan Tun Suzana Othman, pengasas dan pengerusi KEMUDI (Pertubuhan Kesedaran Melayu dan Islam).



Beliau yang terkenal sebagai jenulis buku “Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu” diminta membawa tajuk "Ulamak dan Persilatan dalam Sejarah Alam Melayu".


Suzana membuka perkara dengan menceritakan bagaimana dakwah Islam dimulakan oleh Nabi Muhammad SAW di Mekah dan apa yang ditekankan di sana. Secara rata penganut Islam diisi dengan pemahaman tauhid yang kental sepanjang 13 tahun Nabi berdakwah di Mekah.Suzana menyebutnya sebagai Tauhid Makrifat.


Apabila pemahaman tauhid itu sudah cukup sempurna baru ditekankan syariat juga pembinaan negara. Beliau merujuk pula pada tempoh 10 tahun baginda Rasulullah SAW berdakwah di Madinah.


Pada fasa Madinah itulah umat Islam yang sudah bernegara mula diuji dengan peperangan demi peperangan. Antaranya adalah Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandak. Maka itu ada ayat Al-Quran yang menyeru agar kita membina kekuatan melalui ilmu peperangan dan sebagainya. Cuma Suzana menambah kekuatan yang disediakan bukan sahaja merujuk pada ilmu peperangan, bermain pedang dan sebagainya tetapi juga kekuatan ekonomi dan ilmu pemikiran terutama untuk zaman sekarang.


Kekuatan ilmu perang Nabi dan para sahabat sebenarnya berlandaskan tauhid yang benar seperti diterapkan di Mekah selama 13 tahun. Apabila menyentuh tentang Alam Melayu maka ilmu persilatan sering disebut sebagai pakaian perang bangsa kita. Menurut Suzana, pernah terdapat unsur-unsur tahyul dan syirik dalam ilmu persilatan Melayu ketika zaman sebelum Islam, ketika bangsa kita ada yang menganut fahaman animisma, Hindu dan Buddha. Tetapi ini dibersihkan apabila masuk agama Islam terutama melalui fahaman Tauhid berserta pelajaran, pengamatan dan pengamalan ilmu Tasawuf.


Maka itu ilmu persilatan turut menjadi pakaian para ulamak dalam menyampaikan dakwah Islam. 


Disebutlah bahawa pahlawan Melayu silam sering melakukan wirid dan sebagainya termasuk ketika berperang di mana diperuntukan satu waktu untuk gencatan senjata supaya penumpuan boleh dibuat pada wirid...


Suzana turut memasukkan cerita kebesaran kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dalam pembentangan.





Sesungguhnya kedatangan para penjajah Barat seperti Portugis yang menakluki Kota Melaka pada tahun 1511 juga Sepnayol yang datang lewat sedikit adalah lanjutan daripada Perang Salib di Timur Tengah dan peristiwa kejatuhan Andalusia ke tangan orang Kristian. Kedatangan penjajah seterusnya seperti Belanda dan British juga tidak lain adalah kesinambungan kebencian terhadap umat Islam yang panjang.


Ulamak-ulamak Melayu silam yang turut pandai bersilat gigih berjuang menentang penjajah yang bukan Islam.


Kesimpulan yang saya dapat, ilmu persilatan yang benar, bukan mengandungi faktor-faktor syirik dan tahyul adalah amalan para ulamak selain para pesilat. Mereka mengamalkan silat dalam konteks untuk berdakwah menyebarkan Islam sambil berjihad melawan mereka yang menghalang dakwah, memusuhi dan mahu menghancurkan umat Islam. Untuk mencapai hal dan keadaan seperti ulamak-ulamak terdahulu kita harus memiliki ilmu tauhid yang mantap. Oleh itu galilah mutiara ilmu yang pernah diterima para sahabat semasa 13 tahun Nabi Muhammad berdakwah di Mekah. Itulah yang boleh memberikan kita kekuatan untuk menangani cabaran akhir zaman.


Tuesday, September 20, 2016

Tentang busana Melayu dan perkara-perkara berkaitan milik bangsa kita menurut kitab ulamak silam

Salam semua. Malam ini ingin saya memulakan proses memperincikan sedikit sebanyak isi pembentangan yang dibuat pada acara ke-17 HIKMAH di Seremban. Mari...


Pada artikel pertama tentang perjalanan acara iaitu HIKMAH Seremban - Persediaan selepas Subuh, ulamak silat dan geopolitik Laut Cina Selatan ada disebut bahawa pembentangan pembukaan yang diberi tajuk "Dalil-dalil Bertanjak dalam Islam, Sanad Serban dan Imamah serta beberapa Hal tentang Melayu dan Islam dalam Kitab." ditangani oleh saya. Ini kerana pembentang asal tidak dapat muncul disebabkan hal tertentu. Oleh kerana tahu sedikit apa yang mahu dibentangkan saya pun masuk sebagai pengganti.


Saya tahu tentang pembentangan kerana ia dibuat berdasarkan sedikit ilmu yang ditimba di sebuah sekolah pondok di Kelantan 3 minggu lalu. Saya ada di sana bersama pembentang asal dan di situlah sebenarnya seorang sahabar kami meminta pembentang tersebut agar menangani tajuk untuk HIKMAH Seremban nanti. Rujuk artikel-artikel berikut di blogspot CATATAN SI MERAH SILU...







Pembentang tersebut iaitu saudara Wan Ahmad Faris, aktivis busana Melayu daripada PERDAM, Persatuan Destar Alam Melayu telah menyatakan persetujuan lalu nama beliau dan tajuk mula dirangka dalam senarai pembentangan sebelum diwar-warkan kepada umum. Namun 2-3 hari sebelum acara tiba-tiba saya diberitahu beliau terpaksa bekerja pada hari acara lalu tidak dapat datang. Apabila tiada pengganti yang tahu perkara dapat muncul bagi pihak beliau saya pun mengambil alih menerangkan.


Cuma saya mengingatkan para hadirin bahawa pembentangan gantian daripada saya lebih merupakan ringkasan perkara. Jika pembentang asal sepatutnya ada dalil-dalil daripada Quran dan Hadis juga kitab-kitab lama yang boleh dikongsikan seperti yang kami dengar bersama ketika menadah ilmu di sekolah pondok Kelantan saya setakat boleh menyebut semuanya ada dalil tapi tak ingat apa. Saya setakat mencerna ilmu tanpa membuat apa-apa catatan ibarat memakan buah yang apabila sudah dihadam tidak ada lagi rupa buah. Namun zatnya tetap meresap ke dalam badan. Secara ringkas apa yang saya kongsikan boleh disenaraikan seperti berikut...


1. Bahawa busana tradisional Melayu menepati sunnah Nabi Muhammad SAW daripada segi maknawi perkara. Yang dikatakan sunnah itu bukan sangat pada jubah dan serban kerana ia sedia asal pakaian orang Arab tapi pada ciri-ciri pakaian, misalnya longgar dan selesa sambil menutup aurat, ada ikatan kepala yang Nabi sebut sebagai imamah, kenalah dengan tanjak.

2. Tentang persoalan jenis-jenis tanjak yang kini ramai dipakai orang, tentang ada tuduhan bahawa para aktivis budaya memandai-mandai apabila memakai tanjak yang katanya milik raja dan kerabat sahaja guru kami memberitahu beliau biasa berurusan dengan Istana Kelantan. Sekolah pondok beliau, Madrasah Ahbabul Mustafa sudah beberapa tahun menggalakan anak murid dan pengikut memakai busana tradisional Melayu. Pada hari raya Aidil Fitri baru-baru ini seorang anak muridnya malah berpakaian begitu ketika membaca khutbah hari raya. Lihat gambar berkenaan dalam artikel Ledakan busana tradisional Melayu di masjid-masjid pagi raya

Antara tanjak yang biasa dipakai anak murid dan pengikut beliau adalah jenis yang dipanggil Getam Budu. Ini diketahui umum sebagai tanjak rasmi Sultan Kelantan. Guru yang dikenali sebagai Syaikhuna Abuya Abu Aswad Bin Yah Al Kubra berkata (dan saya kongsikan cerita pada HIKMAH Seremban) bahawa satu hari baginda Sultan Kelantan bertanya berapa orangkah ahli madrasah yang memakai tanjak Getam Budu? Jawab Sheikh, 10 orang. Terus Sultan bertitah, tempah 10 buah tanjak Getam Budu baru berserta persalinan pakaian setiap satu. Tempah yang terbaik, baginda sanggup bayar. Kenapa Sultan sanggup berbuat begitu, Sheikh bertanya pada kami yang hadir di sekolah pondok? Kerana baginda seronok melihat rakyat meraikan pakaian raja, jawab beliau sendiri. Bukankah itu tanda sayang rakyat pada raja? Maka raja pula mahu menyatakan rasa sayang kepada rakyat...

3. Tentang amalan-amalan tertentu orang Melayu termasuk dalam ilmu persilatan yang dilihat sesetengah pihak sebagai syirik, tahyul, panggil jin dan sebagainya. Untuk ini saya mengulangi contoh ilmu besi seperti diterangkan oleh Sheikh. Bahawa menurut Al-Quran dan Hadis lalu dipanjangkan dan disyarahkan oleh ulamak-ulamak besar Melayu terutama dari Patani (Sheikh berketurunan sana) ada disebut tentang asal usul besi. Bahawa besi bukan sahaja berasal daripada langit seperti disebut dalam Surah al-Hadid malah asal paling awalnya adalah di kaki tiang Loh Mahfuz, tempat tercatat segala takdir dan qada' qadar makhluk, Besi kemudian diturunkan ke langit ke-7 seterusnya ke-6 seterusnya ke-5 peringkat demi peringkat sehingga sampai ke dalam bumi. Pada setiap peringkat ada malaikat tertentu menggalas tugas membawa besi ke bawah. 

Jika kita tahu asal usul, nama setiap malaikat yang membawa turun besi malah nama besi yang kata Sheikh berlainan pada setiap peringkat maka kita boleh menyeru besi. Besi itu bernafas dan semangatnya boleh dihidupkan. Tak perlu panggil jin untuk masuk memberi ia kuat. Cukup tahu tentang cara menaikkan semangat besi berdasarkan ilmu daripada Al-Quran.

Kesimpulannya, semua perkara-perkara ini dan banyak lagi perkara berkaitan sebenarnya sudah dibahaskan disyarahkan para ulamak kita sehingga nyata mana yang syirik mana yang dibenarkan malah berlandaskan Al-Quran dan Sunnag. Bahawa banyak yang disangkakan tahyul oleh orang yang kurang berkepengetahuan sebenarnya sah. Ada dalil dan nas menyokong jika sahaja kita rajin mencari dan mengkaji kitab-kitab lama tulisan ulamak-ulamak Melayu kita. Cukuplah perkongsian saya tentang pembentangan ini.


Nota : Gambar-gambar di atas sebenarnya diambil ketika saya sebagai pengerusi majlis juga MC merumuskan sedikit pembentangan ketiga HIKMAH Seremban, sebelum menangguhkan acara untuk rehat makan tengah hari dan solat Zohor. Saya gunakan gambar-gambar ini kerana tidak memiliki gambar ketika membuka sesi pembentangan dengan tajuk tentang busana Melayu dan perkara-perkara berkaitan itu.

PERKONGSIAN ILMU YANG TELAH DIBUAT HIKMAH SETAKAT INI

Ramai sudah sedia maklum bagaimana HIKMAH menggabungkan persembahan silat, budaya, pameran koleksi keris malah sesi berkuda juga memanah untuk memeriahkan acara. Namun teras utama acara tetap perkongsian ilmu yang dibuat dalam bentuk pembentangan seperti seminar sebelum diikuti sesi berkumpulan. Dengan ini biar dikongsikan tajuk-tajuk kertas kerja yang telah dibuat setakat ini...

“Suai Kenal HIKMAH” atau HIKMAH I di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Perlembagaan Negara dan Cabaran Terhadap Hak Melayu dan Institusi Beraja – Mohd Faizal Ahmad, peguambela dan peguamcara


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


4. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


5. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


6. Ragam Hias Gunungan Mihrab dan Mimbar di Alam Melayu – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan Idris


7. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


8. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


9. Keris ke arah Penyatuan Alam Melayu – Khairul Azhar Abdul Karim, YDP Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur


10. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


11. Dari Srivijaya ke Batu Bersurat Terengganu : Perjalanan Melayu Merentas Zaman Menggamit Peranan – Mohd Syukri Embong, YDP Persatuan Belia Waja Watan




“Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu” atau HIKMAH II di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 November 2012


1. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


2. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos , bekas wartawan Malay Mail


3. Faktor Sultan kepada Bangsa Melayu : Mesej untuk umat Melayu di Akhir Zaman – Sheikh Sidi Mohamed Zaid Dor, pengetua Madrasah Rasool-Ur-Rahmah, Behrang, pemimpin Tariqat Naqsyabandiah


4. Ragam Hias Gunungan Mihrab di Acheh dan Tanah Melayu (1600-1900) – Harleny Abd Arif, calon doktor falsafah seni Universiti Pendidikan Sultan


5. Busana tradisional Melayu sebagai Lambang Jiwa Merdeka – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


6. “Berpetualang ke Aceh” : Satu Pengalaman Mencari Jati Diri Melayu – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Ancaman Terhadap Situs Bersejarah Kerajaan Lama Lamuri : Usaha untuk Memperkasakan sejarah Aceh yang hilang Melalui Pemeliharaan Makam-makam - wakil dari badan NGO Mapesa (Masyarakat Peduli Sejarah Aceh)


9. Ikonografi Zulfikar dalam Sejarah Hubungan Turki dan Nusantara – Mohd. Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu


10. Panji-panji hitam dari Timur : Peranan bangsa Melayu Akhir Zaman – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh


“HIKMAH Berselawat : Menjejak Pendekar, Ahlul Bayt dan Mendaulat Sultan di tanah Gangga Negara” atau HIKMAH III di Marina Hall, Lumut 27 Januari 2013


1. Alter Terahsia Melayu – Srikandi, pengkaji sejarah Melayu dan seorang penulis blog yang agak misteri tetapi diminati ramai terutama melalui blog Mistisfiles


2. Mata Wang Syariah dan Melayu : Penipuan dalam Kewangan dan Perlembagaan? – Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Ahlul Bayt Rasulullah SAW & Warisan Melayu – Tun Suzana Othman, penulis buku tentang Ahlul Bait dan raja-raja Melayu juga ulamak silam


4. Siapakah itu Melayu? – Tuan Haji Halim Bashah, penulis, pengumpul koleksi sejarah negeri Kelantan, wakil Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Kelantan


5. Ahlul Bayt sebagai Perisai Agama,Bangsa dan Negara - Habib Abu Aswad ibn Zakaria Al-Kubra, mudir Madrasah Ahbabul Mustafa, Kelantan


6. Nasib orang Melayu di Singapura - Tengku Syawal, waris utama Sultan Ali ibni Sultan Hussein (Sultan Ali pernah bertakhta di Kesang, Johor, Sultan Hussein di Singapura abad ke 19 Masihi)


7. Wasiat Raja Haji Fi Sabilillah oleh waris dari Pulau Bentan, Raja Syukri


8. Sajak Melayu – Tun Muhammad Farul, aktivis busana tradisi dan silat Melayu, wakil dari Istiadat Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu


9. Kebangkitan Panji-panji Hitam Melalui Pembatalan Sihir Perjanjian Pangkor - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”

HIKMAH IV : Silaturrahim Bumi Serambi Mekah di Akademi Nik Rashiddin, Kandis, Bachok 16 Mac 2013


1. Motif Langkasuka Dalam Kesenian Melayu – Puan Rosnawati, pemilik ANR


2. Gunungan Mihrab dan Mimbar Pantai Timur : Stailisasi Motif dalam Ragam Hias – Puan Harleny Abd Arif, calon PhD seni UPSI


3. 'Seni Khat Melayu': Penerokaan Identiti Dalam Manuskrip dan Seni Ukir Melayu - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


4. Sejarah dan Tempat-tempat Signifikan di Kelantan : Langkasuka, Empayar Chermin hingga ke Zaman Raja K'Umar – Kelab Pencinta Sejarah Kelantan


5. Sejarah Kelantan Membawa ke Dinasti Raja-raja Jembal dan Kisah Puteri Saadong - Tuan Haji Ismail Sulaiman, presiden Persatuan Pencinta Sejarah Puteri Saadong


6. Sheikh Ahmad al-Fathoni dan para Ulamak Pantai Timur : Kenapa Kelantan dipanggil Bumi Serambi Mekah? - Ustaz Zaidi Hassan dari Masjid Salor, Pasir Mas, Kelantan


7. Apa yang Perlu dilakukan untuk Menjayakan Perjuangan Dinar Dirham dan Muamalatnya : Peranan HIKMAH dan Kaitan dengan Cap Mohor Diraja - Ustaz Muhammad Hassan Zaid bin Ramli dari As-Saff Madani Islamic City


8. Praktik Dinar dan Dirham untuk Kesultanan dan Umat Melayu – Mazli Alias dari kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


9. Dari Langkasuka ke Serambi Mekah : Kedaulatan Melayu dan Islam – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH


“HIKMAH Isra’ dan Mi’raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu” atau HIKMAH V di Masjid Makmur Losong, Kuala Terengganu 5-8 Jun 2013


1. Aplikasi Dinar dan Dirham sebagai Wadah Pendaulatan Islam sedunia : Pasar Terbuka Masjid - Puan Norbaini Hassan, Perunding Dinar & Dirham


2. Hubungan Syarif Al-Baghdadi dan Tok Pulau Manis dengan Islam di Nusantara - Fokus Salasilah Tok Syeikh Pulau Manis - Cikgu Najib Badruddin, Pengkaji sejarah dan waris Tok Pulau Manis dari Kelantan


3. Antara Muhammad al-Baghdadi dan Muhammad Nafs al-Zakiyah : Pengalaman Peribadi Menjejak Makna hingga ke Terengganu - Radzi Sapiee, pengasas dan presiden HIKMAH


4. Dinar dan Dirham dan Kesultanan Masa Kini – Umar Azmon Amir Hassan, Penggiat Dinar dn Dirham kumpulan Murabbitun dan World Islamic Mint


5. Tasawuf, Tamadun Melayu dan Khilafat Uthmaniyyah – Halit Osmanli An-Naqsyabandi, Sheikh tariqat Naqsyabandiah-Haqqani


6. TokKu Paloh dari aspek Sosiologi Ekonomi Masyarakat - Razi Yaakob, Pensyarah UnisZa (Universiti Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu)


7. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 -Mohd Zahamri Nizar, Aktivis seni rupa Melayu


8. Jejak dan Legasi Tok Ku Paloh dan Keluarga - Dr Syed Lutfi bin Syed Umar, Pensyarah Unisza


9. Batu Bersurat Terengganu, Mesej untuk Umat Akhir Zaman - Rashid Hamat, Ketua Bahagian Sejarah, Muzium Negeri Terengganu


HIKMAH Merdeka Raya atau HIKMAH VI di Galeri Shah Alam 7 September 2013


1. Hasil kerja seni sebagai Wadah Memartabatkan Melayu dan Islam - Mohd. Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu dari Pertubuhan Pengkarya Seni Kuala Lumpur dan Selangor


2. Mengenali dan Menjejaki Perjalanan Bangsa Melayu dan Asal Usulnya – Puan Zaharah Sulaiman, penyelidik dan penulis dari Ikatan Arkeologi Malaysia


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu - Shamsul Yunos, bekas wartawan Malay Mail dan aktivis media bebas


4. Pernyataan HIKMAH Melaka sebagai blue print kebangkitan Ummah - Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH

Festival Ketamadunan Dan Adat Istiadat Melayu Mukmin Nusantara atau HIKMAH VII di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 November 2013


1. Zuriat Nabi SAW dan Islam di Nusantara : Sejarah, Hijrah dan Hikmah - Tun Suzana Othman, penulis buku“Ahlul Bait dan Raja-Raja Melayu” dan Ustaz Mohd Iqbal Parjin dari KEMUDI ((Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam)


2. Fiqh al Adat Muhakkamah dalam Hikayat Raja-raja Melayu oleh Farha Muhammad - Nur Shazwani Sadzali dari Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan



Rumahku Syurgaku @ HIKMAH VIII di Baitul Hikmah, Sungai Buaya, Rawang, Selangor 8 Februari 2014


1. Tradisi Gemilang: Seni Mushaf Terengganu Abad ke-19 oleh Mohd Zahamri Nizar, aktivis seni rupa Melayu


2. Ruang Mihrab Rumah Rasulullah SAW dan Perkaitannya dengan Falsafah Gunungan bersumberkan Al-Quran oleh Puan Harleny Abd Arif, pengkaji dan calon PhD seni UPSI (Universiti Perguruan Sultan Idris)

Mutiara HIKMAH @ HIKMAH IX di Bayan Lepas, Pulau Pinang 22 Februari 2014


1. Penempatan awal Melayu di Pulau Pinang - Roslan Saadon dari NGO Peradaban


2. Wang Fiat dan keruntuhan ekonomi Orang Melayu - Amirul Haji Mohamad, jururunding utama AHM Creates, firma khidmat nasihat kewangan Islam. Penerbit dan hos rancangan “Islamic Finance” di Capital TV, UNIFI


3. Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu – Shamsul Yunos, wartawan dan aktivis media bebas


4. Mencari Jati Diri Melayu Melalui Peninggalan Sejarah – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


5. Ancaman terhadap Akidah Umat Islam - Sheikh Raja Aman bin Raja Mokhtar, pemimpin Tariqat Shah Naqshband Az-Zainiyyah

HIKMAH Aceh - Kembali ke Makam Nenda @ HIKMAH X di Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014



1. Pengenalan HIKMAH – Radzi Sapiee, presiden dan pengasas HIKMAH, penulis trilogi novel “Berpetualang ke Aceh”


2. Sahibul Hikayat Bustanus Salatin - Muammar Farisi dari SILA (Sejarah Indatu Lemuria Aceh)


3. Pelestarian Situs Sejarah dan Budaya di Aceh - Teuku Zulkarnaian dari Dinas Budaya dan Parawisata (Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan) Aceh, juga Raja Nagan, raja bagi negeri kecil Nagan di bawah Aceh Darussalam.